Monday, 15 September 2014

Hikmah Dari Seguni Paku

Assalamualaikum..

Kita manusia tak lari dari sifat marah. Biasalah dah nama pun manusia kan?.

Malah nabi juga telah mengajar kita bagaimana untuk mengawal marah. Tatkala marah kita sedang berdiri, maka kita perlu duduk. Kalau sedang duduk, kita berbaring.

Marah itu bersifat seperti api dan api asalnya dari neraka. Maka untuk memadamkan api kemarahan itu kita perlukan air. Maka jika kita marah, kita disarankan untuk mengambil wudhu' untuk mengawal marah.

Saya nak kongsikan kisah bagaimana seorang pemuda yang pemarah akhirnya dapat mengawal sifat pemarahnya..

KISAH PEMUDA YANG PEMARAH

Alkisahnya, ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja.

Pemuda ini terlalu mengikut nafsu
amarahnya terutamanya ketika bersama sahabat-sahabatnya. Dia langsung tidak memikir untuk menjaga perasaan sahabat-sahabatnya.


SEGUNI PAKU PENUH HIKMAH

Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. “Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut. “Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut.

Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat meredakan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan.

Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.

Akhirnya tibalah pada suatu hari, di mana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira.

Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

DINDING HATI YANG DILUKAI

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata “Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya.

Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu terhadap seseorang ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini.

Kadang kala anakku, kau merasakan sikapmu itu wajar dengan kemarahan yang sedang kau tanggung terhadap insan di sekelilingmu, tetapi tanpa kau sedar kau telah meninggalkan luka yang sangat dalam di hati mereka yang mungkin terlalu menyayangimu...

AMBILLAH PENGAJARAN, KAWALLAH AMARAHMU

Kisah ni telah banyak kali dikongsikan dimedia sosial. Mungkin kisah benar mungkin juga kisah dongengan.

Namun yang paling penting adalah pengajaran yang boleh kita renungkan..

Tatkala kita melayan amarah, kadangkala kita terlepas bait kata yang mengguris hati orang lain, kata yang mungkin akan kita kesali seumur hidup.

Walaupun beribu kemaafan dipinta, parut dihati tak mudah dipadamkan..

Maka kawallah amarahmu.. La Taghdob

Sekian...wassalam..

No comments:

Post a Comment