Wednesday 26 November 2014

Bertanya Allah Dahulu : Undang Allah Dalam Setiap Yang Kita Lakukan

Assalamualaikum semua..

Saya doakan rakan-rakan semua dalam limpahan kasih sayang Allah..

Awal Subuh tadi saya terbaca status yang dikongsikan oleh 'moyang' Shaklee saya iaitu Master Hafsah dari FB Ustazah Siti Khadijah. Ianya tentang sentiasa berkata-kata, berdoa, mengadu, berharap kepada Allah dalam setiap apa yang kita lakukan.

Mari kita baca apa yang dikongsikan tu..

UNDANG ALLAH DAHULU DALAM SETIAP APA YANG KITA LAKUKAN
Dalam kehidupan kita sehari-hari, ada ketikanya kita berhadapan dengan kesulitan dan kesusahan yang menduga amal dan iman kita. Saat kesulitan tersebut mahu didepani, alangkah baik kita mengundang Allah dahulu (meminta atau bercakap-cakap dengan Allah terlebih dahulu) sebelum meminta pertolongan insan lain.Kerana Allah yang menghadirkan kesulitan, Allah jualah yang akan memberikan penyelesaian.
Betapa ramai di antara kita, yang lebih cenderung mencari penyelesaian dengan cara sendiri tanpa mengundang Allah terlebih dahulu. Lalu kita sibuk bertanya dengan seseorang yang kita percaya. Kita berkeyakinan bahawa dia mempunyai masa untuk mendengar dan menyelesaikan kisah susah kita. Namun kita kecewa saat harapan dan kepercayaan kita tidak dilayani mereka.
Kita fikir, Allah hanya boleh kita temui hanya di dalam solat, doa dan zikir-zikir tertentu sahaja. Allahu akbar! Allah sentiasa mempunyai masa untuk kita di mana-mana sahaja dan bila-bila masa. Belajar undang Allah dalam setiap kerja kita, biar di luar solat mahupun doa.
Saya tertarik dengan ebook yang ditulis Cikpuan Insyirah Azhar, berkenaan Bertanya Allah Dahulu (BAD). Tulisan beliau dalam ebooknya ini, banyak menyedarkan saya bahawa Allah harus ada dalam setiap apa jua perkara yang kita lakukan. Daripada sekecil-kecil perkara, sehingga sebesar-sebesar masalah yang tiada sudahnya, sebenarnya kita mampu mengundang Allah pada bila-bila masa. Tidak perlu tunggu saat di timpa kesusahan, baru mahu mencari Allah.
Cara mengaplikasi teknik BAD ini cukup mudah. Apabila kita mahu melakukan sesuatu, bercakaplah dengan Allah dahulu.
Sebagai contoh (saya beri contoh biasa-biasa sahaja),
1.Kita mahu keluar bekerja, cakap pada Allah, "Ya, Allah, saya mahu pergi kerja ya Allah. Pelihara saya, jadikanlah jalan saya mahu ke tempat kerja tidak sesak dan saya boleh sampai sebelum jam sekian-sekian."
2. Kita mahu buat kerja, namun anak tidak mahu dengan orang lain, cakap pada Allah, "Ya Allah, saya mahu buat kerja rumah ini ya Allah. Tetapi anak saya menangis, dia tidak mahu dengan orang lain. Tolong saya ya Allah. Pegang hati anak kecil ini, saya serahkan urusan ini pada-Mu ya Allah."
Kemudian, buatlah kerja seperti biasa. Jangan difikir-fikir. Allah akan buat kerja-Nya. Apabila kita benar-benar yakin pada Allah, Dia akan bantu kita selesaikan apa juga permintaan kita tidak kira cepat mahupun lambat.
Saya telah berulangkali mengaplikasikan teknik BAD ini. Dan subhanallah, kesannya luar biasa.Saya kongsikan di sini, kerana mahu mengajak rakan-rakan Fb merasai ketenangan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah.
Berminat mengetahui teknik ini, boleh hubungi Tuan Asyraff Hafdzan Abdullah. Insya-Allah, saya akan kongsikan keajaiban mengaplikasi teknik BAD ini selepas ini.
*Untuk makluman semua, Teknik BAD bukan dikaji oleh Tim Hadith Psikologi (Teknik Nabi) ya. Kerana ia bermanfaat maka kami kongsikan.
‪#‎BertanyaAllahDahuluUSK‬



Alhamdulillah..

Sebenarnya sejak tahun ni saya sebenarnya dah mula praktikkan apa yang Ustazah Siti Khadijah share kan cuma mungkin tak perasan sangat. Dan kesannya pun tidaklah saya perasan sangat. 

Tapi lepas baca coretan Ustazah ni, saya berazam untuk lakukannya sepanjang masa dan mungkin nak tengok kesannya supaya dapat dikongsikan kemudian nanti.


Contohnya pagi ni jam 6.45 pagi, sebelum bertolak untuk hantar Zara dan ke pejabat, saya cuba lakukan (dengan sedar). Saya cakap, "Ya Allah, saya nak bertolak ke pejabat. Mohon Ya Allah agar dilancarkan perjalanan dan dapat punch kad sebelum 7.25 pagi".

Alhamdulillah.. saya dapat punch kad 7.30 pagi. Walaupun bukan 7.25 pagi seperti diharapkan, tapi masih tidak lewat. (Biasanya kalau keluar time gitu, harapan nak sampai sebelum 7.30 pagi memang sangat sangat tipis).

Sebelum-sebelum ni kebiasaannya saya praktiskan sebelum tidur. Berdoa mohon Allah kejutkan saya untuk tahajjud. Alhamdulillah, kebanyakan masa memang tersedar sebelum alarm berbunyi.

Memang betul pun, kebanyakan masa kita cari manusia lain untuk luahkan perasaan/masalah. Sedangkan Allah Yang Maha Mendengar sentiasa ada bersama kita untuk dengar segala masalah kita. Kita je yang lupa.

Semoga dengan ini saya dan rakan-rakan dapat lebih 'berkomunikasi' dengan Allah. In syaa Allah, hidup kita akan lebih tenang dan bahagia.

Wassalam..


Terima kasih kerana sudi membaca :)

* Jika anda rasa entri ini memberi manfaat buat anda dan orang ramai di luar sana, sila tekan butang LIKE dan dipersilakan SHARE. Semoga ilmu ini dapat dipanjangkan dan menjadi salah satu pencen kubur kita semua.



5 comments: